Wednesday, September 17, 2008

PAS minta BPR siasatan dakwaan Hasan Malek-MALAYSIAKINI

PAS mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malek bahawa beliau ditawarkan menyertai Pakatan Rakyat dengan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.

husam musaNaib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata badan itu perlu menyiasat segera supaya rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenarnya.

"Lima belas tahun dulu Tok Guru (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pernah disoal siasat (BPR) apabila beliau mendedahkan ditawarkan sogokan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan konsesi balak," katanya kepada pemberita di Pasir Puteh hari ini, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan ditemui selepas menyampaikan dua keping cek berjumlah RM11,500 untuk membantu dua pesakit jantung di Kampung Kubang Tembesu, Selising.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Hasan mendedahkan wakil dari parti pembangkang menemuinya lima hingga enam kali bagi memujuk menyertai pembangkang
selepas pilihanraya kedua Mac lalu.

Hasan dilaporkan berkata: "Yang terbaru dia mengunjungi saya selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, bulan lalu. Saya boleh katakan janji mereka berkali ganda lebih baik berbanding apa yang saya peroleh sekarang."

Sementara itu, Husam berkata tarikh 16 September sudah berlalu dan kini parti-parti yang menganggotai Pakatan Rakyat (PR) dalam proses terakhir untuk membuat persiapan asas dan teknikal peralihan kuasa."Kita mahu (proses) peralihan itu berjalan dengan baik, teratur dengan tidak menimbulkan masalah," kata Husam.

Husam berkata PR berhasrat untuk membentuk sebuah kerajaan yang adil, jujur, bebas dan mampu menyatukan rakyat Malaysia berasaskan keadilan dan kejujuran selari dengan kehendak Islam.

No comments: